Segera gantung penjualan arak sehingga akta dipinda

Berapa ramai perlu dikorbankan sementara tunggu Ka Siong, Takiyuddin buat kerja?

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/hazwanpemandumabuk-e1590757674655.jpg

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Insiden kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk sekali lagi berulang apabila seorang pekerja syarikat kurier maut dilanggar individu di bawah pengaruh alkohol di kilometer 34.2 Lebuh Raya Persekutuan menghala Kuala Lumpur, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, lelaki berusia 42 tahun yang juga pembonceng motosikal meninggal dunia di tempat kejadian dan rakannya yang parah kini dirawat di Zon Merah, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Lebih menyedihkan, mangsa yang dikatakan baru tiga hari bekerja di sebuah syarikat kurier di Petaling Jaya tidak sempat menikmati gaji pertamanya.

Tidak mahu lagi banyak nyawa terkorban kerana kecuaian dan sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk ini, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti BERJASA, Hazwan Mohamad mendesak kerajaan segera menggantung penjualan arak sehingga akta dipinda.

“Sementara nak tunggu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Datuk Takiyuddin Hassan buat kerja, berapa ramai lagi anak-anak akan kehilangan ayah? Isteri-isteri kehilangan suami? Ibu ayah yang kehilangan anak?

“Yang lebih sadis, anak-anak, isteri, ibu ayah ini hanya melopong melihat sekujur tubuh! Nak lawan, mana mampu lawan! Kerajaan kata satu nyawa terkena COVID-19 adalah kehilangan besar buat negara! Tidakkah sama nyawa mereka yang mati kerana kecuaian dan kebodohan pemandu mabuk ini?.” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut mendesak supaya kerajaan mengehadkan premis penjualan arak di seluruh negara.

“Selain itu, melaksanakan hukum mati mandatori kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian!,” tegasnya.

Sejak kebelakangan ini, Malaysia dikejutkan dengan siri kejadian pemandu mabuk. 3 Mei lalu, seorang anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya Kajang-Seremban (LEKAS) maut selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda, dipandu seorang lelaki yang disyaki mabuk.

Pada 22 Mei lalu, seorang lelaki memandu kenderaan pacuan empat roda secara berbahaya di sebuah tapak perniagaan di Bukit Sentosa, Rawang, Selangor menyebabkan lima orang cedera, sekali gus mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.

Sebelum itu, seorang penunggang motosikal maut, manakala rakannya cedera juga disebabkan pemandu disyaki mabuk dalam kejadian di Batu 10, Jalan Apas, Tawau.

Sementera Jun tahun lalu, Roslinda Mohamad Isa, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas selepas gerai nasi lemak dirempuh sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki yang dipercayai memandu dalam keadaan mabuk.

Sebulan kemudian, satu lagi kes sama membabitkan seorang pekerja kontrak yang maut dilanggar pemandu dipercayai mabuk ketika sedang melakukan kerja kawalan lalu lintas di Persiaran Perdana, Sri Damansara.

Kejadian sama turut meragut nyawa Mohaidin Gani Mohamad, 58, apabila motosikalnya dirempuh oleh kereta seorang wanita warga China berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Dato Keramat, di ibu negara.