JPM nafi adakan sidang media

Mohd Redzuan masih jalani tempoh kuarantin

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/mohdredzuan-780x470.jpg

KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Tiada sebarang sidang media khas daripada Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), seperti yang ditularkan hari ini.

Dalam satu kenyataan, pejabat itu menafikan perkara tersebut, memandangkan menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, kini masih menjalani tempoh kuarantin.

Terdahulu, sebuah portal media melaporkan Mohd Redzuan dan Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Dr Shahruddin Md Salleh, akan mengadakan sidang media bersama di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pada jam 5 petang.

Menurut portal itu, sumber dalaman Bersatu memaklumkan, menteri tersebut akan mengadakan sidang media bagi memaklumkan peletakan jawatan mereka.

Sementara itu para wartawan berkumpul di ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya, yang menunggu bagi sidang media berkenaan, telah diarahkan mengosongkan bilik mesyuarat di tingkat 8 bangunan berkenaan oleh petugas parti Bersatu.

Kumpulan wartawan kemudian diarahkan untuk ke tingkat 9 pada kira-kira jam 6 petang, bagaimanapun kira-kira 30 minit kemudian sekali lagi diarahkan turun dan mengosongkan ruang berkenaan tanpa sebarang makluman, sama ada sidang media berkenaan, akan berlangsung atau tidak.

Setakat jam 7.30 petang, wartawan masih lagi berkumpul di sekitar ibu pejabat Bersatu. – Bernama