Masih awal untuk hentikan PKPB

Kes babit rakyat tempatan makin kurang hari demi hari

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/16150821-dg-3_cover_680x427.jpg
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Pertimbangan untuk menghentikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan penyusutan penularan kes tempatan COVID-19 adalah terlalu awal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kementerian sebaliknya akan terus memantau perkembangan semasa penularan jangkitan wabak berkenaan, sebelum merangka percaturan seterusnya.

Katanya, ‘strategi perang’ baharu dalam menangani musuh ghaib itu akan hanya dapat ditentukan pada 9 Jun ini dengan mengambil kira sebarang peningkatan atau penurunan kes baharu, pasca musim perayaan Aidilfitri.

“Sejak beberapa minggu lalu, iaitu sejak 4 Mei, kes yang membabitkan rakyat tempatan semakin berkurangan sebenarnya hari demi hari.

“Yang kita lihat sekarang ialah peningkatan penularan jangkitan dalam kalangan bukan warganegara, termasuk pekerja asing yang berkhidmat di pelbagai sektor di Malaysia. Jadi, ia adalah terlalu awal untuk kita buat sebarang keputusan buat masa ini, sebaiknya tunggu sedikit masa lagi dengan mengambil kira perkembangan semasa.

“Jika semua patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan tiada peningkatan mendadak selepas hari raya, maka kita akan buat keputusan seterusnya,” katanya seperti dilapor Berita Harian.