COVID-19: Kluster baharu libat syarikat pembersihan dikesan

Sebanyak 24 kes positif dilaporkan libatkan warga Bangladesh

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/630459-9-780x470.jpg

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti kluster baharu melibatkan pekerja warga asing di sebuah syarikat pembersihan, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata sehingga 12 tengah hari tadi, sebanyak 24 kes positif COVID-19 dilaporkan dalam kluster itu melibatkan warga Bangladesh dikesan oleh sebuah klinik swasta yang menjalankan saringan COVID-19 ke atas pekerja syarikat berkenaan.

“Saringan ini dijalankan sebagai inisiatif pihak majikan untuk menyaring pekerja mereka. Daripada 150 pekerja warga asing daripada syarikat tersebut yang disaring, sebanyak 126 kes didapati negatif COVID-19.

“Daripada 24 kes positif kluster ini, 20 menginap di sebuah asrama di Kuala Langat, Selangor dan kini dirawat di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Empat kes lagi menginap di sebuah pangsapuri di Nilai, Negeri Sembilan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini, hari ini.

Beliau berkata langkah membendung dan pencegahan telah diambil dan setakat ini seramai 428 kontak rapat dikenal pasti dan akan disaring.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata kebanyakan kluster melibatkan warga asing berpunca daripada penginapan yang sesak dan mempunyai ruang sempit mengakibatkan tiada amalan jarak sosial.

Jelasnya, keadaan itu boleh mengakibatkan penularan pelbagai penyakit berjangkit termasuk wabak COVID-19.

Dalam pada itu, beliau berkata KKM menyambut baik pengumuman Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan pada 27 Mei lepas, berhubung penguatkuasaan pindaan Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

“Pindaan tersebut bagi menambah baik Garis Panduan Penginapan Pekerja Asing 2018 yang disediakan oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

“Isu ini sememangnya perlu ditangani segera kerana penginapan golongan pekerja yang tidak kondusif dan sukar untuk mematuhi amalan jarak sosial,” katanya. – Bernama