PRK Chini: Bilangan hadirin di pusat penamaan calon dihadkan – SPR

Situasi itu terpaksa diubah berikutan penularan pandemik COVID-19

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/635922.jpg

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Mengehadkan jumlah maksimum orang yang boleh hadir di pusat penamaan calon dan norma baharu dari segi berkempen antara prosedur operasi standard (SOP) dijangka diperkenalkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang, 4 Julai ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun berkata situasi itu terpaksa diubah dan berbeza dengan PRK yang diadakan sebelum ini berikutan penularan pandemik COVID-19.

”Sebagai contoh hari penamaan calon, SOP tersebut akan mengehadkan jumlah orang yang boleh datang ke pusat pencalonan bukan macam dahulu seperti PRK Semenyih dan PRK Tanjung Piai.

“Pada PRK itu, kita lihat 5,000 hingga 8,000 orang satu parti datang, maka sekarang untuk situasi yang akan datang mungkin tiada lagi,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama TV di pejabatnya, di sini, baru-baru ini.

Azhar berkata SOP itu dirangka melalui libat urus dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain hari penamaan calon, beliau berkata SOP lain yang dikemukakan adalah berkaitan dengan percetakan kertas undi, hari undi pos, hari mengundi awal, tempoh berkempen, hari mengundi dan pada sebelah malam ketika keputusan diumumkan.

”Contoh SOP semasa tempoh berkempen, sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuat kuasa ketika itu, sudah tentu berkumpul melebihi bilangan yang ditetapkan tidak dibenarkan.

“Jadi ceramah atau kempen yang dibenarkan mungkin melalui media massa, internet, mobile unit di dalam kereta atau van yang mana mobile unit tersebut akan berhenti tetapi orang ramai tidak boleh datang ke arah mobile unit tersebut,” katanya.

Azhar, bagaimanapun berkata SOP khas yang dikemukakan itu belum dimuktamadkan kerana ia tertakluk kepada situasi semasa arahan kerajaan mengenai penularan pandemik COVID-19 di negara ini.

“Kita bincang (mengenai SOP itu) pada 21 Mei. Sebenarnya belum dimuktamadkan dan kita belum menutup apa-apa idea untuk menambah baik SOP tersebut. Kita juga masih menunggu pada satu tarikh yang amat hampir kepada 20 Jun untuk melihat keadaan semasa pada waktu tersebut, baru kita boleh muktamadkan,” katanya.

SPR menetapkan tarikh hari penamaan calon PRK itu pada 20 Jun dan pengundian awal akan diadakan 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor yang memperoleh 5,405 undi manakala calon PKR Mohamad Razali Ithnain mendapat 1,065 undi.

Abu Bakar yang ketika itu memperoleh 10,027 undi merupakan penyandang kerusi DUN tersebut sejak PRU ke-11, pada 2004.

DUN Chini, yang merupakan satu daripada empat DUN di bawah Parlimen Pekan, akan menyaksikan PRK pertama selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas. – Bernama