PBT berhak tutup taman rekreasi jika ada pelanggaran SOP

Berkumpul lebih daripada sepatutnya merupakan garis panduan MKN

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/81586092230_TBIsmailSabri-5.jpg

PUTRAJAYA, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk menutup kawasan rekreasi dan taman awam sekiranya mendapati ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata SOP yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) jelas menggariskan aktiviti perkumpulan ramai termasuk dalam senarai aktiviti terlarang sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Kuasa menutup itu seperti Tasik Titiwangsa adalah hak PBT untuk mengambil tindakan menutup apabila melihat bahawa SOP telah dilanggari kerana berkumpul lebih daripada sepatutnya.

“Jadi, itu saya serahkan kepada PBT kalau di Kuala Lumpur, sudah tentulah DBKL yang boleh membuat keputusan, kalau ada tempat lain pun terserah kepada PBT masing-masing untuk membuat keputusan menutup atau tidak,” katanya pada sidang media harian perkembangan PKPB hari ini.

Semalam, DBKL menerusi hantaran Facebooknya memaklumkan Taman Tasik Titiwangsa di sini, ditutup sepenuhnya kepada awam bermula semalam, sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Ia bertujuan mengelak penularan wabak COVID-19 ekoran kehadiran ramai pengunjung ke taman tersebut. – Bernama