Aneh, mengapa TAR UC terima dana RM58 juta?

Padahal masih banyak institusi pendidikan swasta perlukan bantuan

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/ustazazizeehari-e1590745843926.jpg

BANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Polisi dan tindakan kementerian yang bersifat selektif dalam menghulurkan dana terutama ketika seluruh negara menghadapi pandemik COVID-19 wajar dipersoalkan, apatah lagi kepada institusi milik parti yang belum tentu dijamin ketelusan pengurusan kewangannya.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, meskipun Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TAR UC) yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhak menerima geran dana sebanyak RM58 juta, namun kaedah pemberiannya menjadi tanda tanya.

“Buat institusi sebesar TAR UC yang sudah mampu berdiri sendiri secara pengurusan, pengoperasiannya, dan sumber dananya adalah wajar untuk dipersoalkan untuk apa dana sebesar RM58 juta itu.

“Apakah ada kepentingan lain di sebalik itu. Kebimbangan berlaku konflik kepentingan ada kewajarannya kerana ia diberi kepada parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Azizee menyifatkan peruntukan besar diberikan secara terus kepada institusi persendirian milik MCA itu aneh dalam keadaan rakyat bersama-sama menghadapi ujian pandemik COVID-19.

Walhal katanya, wujud institusi pendidikan swasta lain yang lebih memerlukan seperti sekolah agama rakyat, sekolah agama bantuan kerajaan, sekolah tahfiz dan madrasah.

Beliau berkata, sebagai contoh di sekolah agama rakyat yang hanya pelajar Tingkatan 5 sahaja dibenarkan kembali ke sekolah kerana SPM dan rata-rata bilangan murid adalah 10 hingga 20 orang sahaja.

“Sudah tentu yuran yang mereka bayar tidak mencukupi untuk menampung gaji guru, kos pengurusan, dan kos operasi sekolah. Pada masa sama juga, majoriti mereka datang daripada keluarga B40 yang kita sedia maklum, adalah golongan yang paling mudah terkesan dari aspek sumber pendapatan dan ekonomi kerana pandemik COVID-19 ini.

“Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga sudah mengumumkan pengajian atas talian untuk pelajar universiti adalah sehingga 31 Disember 2020. Pelajar kekal belajar secara atas talian namun yuran masih kekal tiada pengurangan.

“Bayangkan jika mereka dari golongan B40 yang berpendapatan rendah serta terjejas punca pencarian, bagaimanalah nasib mereka,” luahnya kesal.

Luahnya lagi, sekiranya institusi pendidikan seperti sekolah agama rakyat dan swasta yang sudah dijamin haknya dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan ini diabaikan oleh pihak kerajaan, maka kepada siapa lagi hasrat pendidikan anak-anak Malaysia ini hendak diperjuangkan.

“Sehubungan itu, kerajaan perlu mengutamakan kepentingan rakyat dari terus meraih sokongan melalui politik sogokan di saat rakyat kelaparan dan hilang punca pendapatan,” tegasnya.

Terdahulu, kerajaan mengembalikan peruntukan RM58 juta kepada TAR UC. Peruntukan RM58 juta itu termasuk baki RM18 juta yang kerajaan sebelum ini berikrar menyalurkannya kepada dana amanah pendidikan diuruskan persatuan alumninya TAA.

Sebelum ini, peruntukan kepada kolej milik MCA itu dipotong sebanyak RM5.5 juta dalam Belanjawan 2019 dan RM1 juta dalam Belanjawan 2020.