https://assets.hmetro.com.my/images/articles/ew_1590710439.jpg
FOTO HIASAN

RM70 bilion harta pusaka 'tergantung'

by

'PEMILIK dalam pusara'. Itu situasi mengejutkan apabila dianggarkan lebih satu juta pemilik geran tanah sudah meninggal dunia, namun pemilikan harta berkenaan belum diselesaikan waris.

Jumlah itu dilihat semakin meningkat setiap tahun sehingga mencecah lebih RM70 bilion yang jumlah berkenaan mampu membangunkan ekonomi umat Islam jika diuruskan dengan betul oleh waris.

Harta tidak alih seperti rumah, bangunan dan tanah menjadi aset paling banyak tidak diuruskan sehingga statusnya masih tergantung walaupun pemiliknya sudah meninggal dunia sejak puluhan tahun lalu.

Perunding Harta Pusaka, Azhar Abdul Samat berkata, berdasarkan data diperoleh, jumlah harta pusaka yang masih 'tergantung' semakin bertambah disebabkan kurangnya kesedaran dalam kalangan waris atau pentadbir harta.

Menurutnya, dianggarkan 95 peratus umat Islam masih tidak sedar kepentingan menguruskan harta dengan betul sama ada sebelum atau selepas meninggal dunia.

"Pemilik meninggal dunia untuk tempoh lama, tetapi waris terdiri daripada anak, adik-beradik atau saudara yang diberi tanggungjawab gagal melaksanakan amanah dengan baik.

"Ini kerana kesedaran untuk menguruskan harta pusaka masih rendah dan persepsi mengenai pengurusan harta pusaka tidak perlu diuruskan segera masih menebal dalam kalangan masyarakat.

"Sebenarnya penyediaan dokumen bertulis seperti wasiat sangat penting supaya pembahagian harta itu kelak lebih jelas dan dibahagi mengikut faraid," katanya yang juga pengasas firma pengurusan harta pusaka Hans Legasi Resources.

Azhar berkata, punca kegagalan dalam pengurusan harta pusaka disebabkan ketiadaan persefahaman dalam kalangan ahli keluarga ketika pembahagian dijalankan selain faktor undang-undang yang rumit menyebabkan ada waris yang sudah buntu.

Katanya, nilai harta pusaka yang tidak dituntut yang banyak sebenarnya dapat digunakan untuk membangunkan ekonomi Islam terutama tanah dan aset bangunan.

"Jika tiada penama waris yang sah dalam geran, sesuatu aset itu tidak dapat dibangunkan dan akhirnya akan terbiar begitu sahaja sehingga puluhan tahun lamanya.

"Jadi kesedaran mengenai pengurusan harta itu sangat penting, malah kini lebih mudah kerana banyak syarikat menawarkan perkhidmatan menguruskan harta dengan bayaran yang berpatutan. Lebih penting ia memudahkan waris tanpa ada pertikaian," katanya.

Beliau berkata, tiba masanya kesedaran mengenai pengurusan harta pusaka perlu ditingkatkan dalam kalangan umat Islam supaya aset yang dimiliki itu dapat digunakan sebaik mungkin dan memberi manfaat kepada waris yang berhak.

Katanya, kerajaan juga disarankan mempermudahkan urusan undang-undang kerana ia pasti akan melancarkan proses pertukaran hak milik harta pusaka khususnya yang membabitkan cukai.

"Kementerian berkaitan juga boleh menganjurkan program kesedaran pengurusan harta pusaka lebih agresif supaya pengetahuan masyarakat semakin meningkat," katanya.