Curi kasut, selipar kerana nafsu pelik
by AgensiBangkok: Lahiriah nampak biasa, namun seorang pemuda di Nonthaburi, wilayah tengah Thailand mempunyai selera pelik apabila mengaku bernafsu terhadap selipar dan kasut.
Malah, Theerapat Klaiya, 24, sanggup mencuri selipar dan kasut jirannya semata-mata mahu menjalin 'hubungan seks' dengannya.
Kegiatan gilanya itu terbongkar selepas dia ditahan polis yang kemudian mendedahkan sebahagian koleksi selipar dan kasut yang menjadi 'pasangan' Klaiya dalam sidang media pada Isnin.
MetroUK melaporkan pemuda itu ditahan bersama 126 pasang selipar dan kasut yang dicuri dipercayai sejak dua tahun lalu.
Dia berjaya dijejaki berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar kediaman beberapa mangsa.
Semua selipar dan kasut pelbagai jenama, saiz dan warna itu dijaga elok dan menurut Klaiya, dia akan memakainya di dalam rumah sebelum memeluk dan menciumnya.
Mejar Kolonel Ekkaphop Prasitwattanachai berkata, suspek pernah ditahan tahun lalu atas kesalahan sama di daerah lain.