Adik mangsa pemandu mabuk tuntut pembelaan setimpal
Allahyarham Irwan seorang bertanggungjawab, sayangkan keluarga
by azrulhakimieOleh Fazleen Safina
BANGI, 5 Syawal 1441H, Khamis – Kehilangan orang tersayang pada hari lebaran pastinya menyedihkan dan lebih memeritkan apabila kematian berkenaan disebabkan oleh sikap tidak bertanggungjawab manusia yang memandu dalam keadaan mabuk.
Demikian dirasai Izar Putra Ezri Kamarudin iaitu adik kepada mangsa yang maut akibat dilanggar sebuah kereta dipandu lelaki di bawah pengaruh alkohol di Jalan Pintasan Kuantan, Pahang, baru-baru ini.
Walaupun sudah reda dengan pemergian abangnya, namun lzar Putra Ezri masih mahu melihat suspek dikenakan tindakan yang setimpal dengan perbuatan beliau.
Tegasnya, ia penting demi memberi pembelaan kepada mangsa termasuk isteri serta anak-anaknya yang kini telah hilang tempat bergantung.
“Memaafkan atau tidak kepada si pelaku saya tidak boleh jawab.
“Tetapi saya berharap agar hukuman yang dikenakan kepada pembunuh Along (mangsa) saya itu biarlah setimpal dengan kesalahannya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Abangnya, Irwan Herman Kamarudin, 41, maut selepas kereta Toyota Yaris yang dipandunya dirempuh kereta Toyota C-HR yang dipandu oleh seorang peraih ikan berusia 42 tahun secara melawan arus dalam keadaan mabuk pada kejadian jam 9.20 malam Isnin.
Allahyarham Irwan, seorang penyelia di Alam Flora Sdn Bhd sejak tahun 2016, difahamkan dalam perjalanan dari rumahnya di Sungai Isap Perdana untuk ke tempat kerja di Gebeng.
Jenazah selamat dikebumikan sekitar jam 4.30 petang, semalam, selepas disembahyangkan di Masjid Al Raudah, Kuantan.
Arwah meninggalkan seorang balu dan dua anak, Puteri Nur Qistina, 14, serta Amanda Nur Fitrisya, 8.
Pada masa sama,Izar Putra Ezri menyifatkan arwah seorang yang baik dan bertanggungjawab terhadap kedua ibu bapa mereka.
“Arwah memang seorang yang ceria, suka buat kelakar serta seorang abang yang sayang sangat kepada adik-beradiknya.
“Malah, arwah juga sangat komited dengan kerja dia selain tidak suka menyusahkan orang lain,” katanya.
Beliau berkata, bekerja bersama arwah adalah antara kenangan yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang arwah masih hidup.
lzar Putra Ezri menjelaskan bahawa, beliau dan arwah sebelum ini pernah melakukan kerja-kerja penyelenggaraan pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sekitar Kuantan.
“Memang masa itu saya berdua dengan arwah Along buat kerja itu. Hasil daripada gaji berkenaan kami bagi sama-rata, makan dan minum bersama-sama, semuanya sama-sama,” jelasnya.