PH hanya mahukan kuasa, nasib rakyat cuma ‘diratib’ bila tagih undi
Rakyat diseru suarakan kekesalan ketidakstabilan politik hari ini
by ainulilliaBANGI, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Seluruh Malaysia sedia maklum akan perkara sebenar yang menumbangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) seperti mana dimaklumkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, baru-baru ini dalam titah baginda di Parlimen.
Bagaimanapun, perasaan dengki, ego dan dendam kesumat terus mendasari jiwa serta perasaan pemimpin PH yang rakus sehingga hilang segala pertimbangan dan rasa sabar.
Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, pakatan itu sedar bahawa semua ini adalah kesilapan yang akhirnya membuatkan mereka tersungkur.
Namun begitu, dakwanya, kegilaan mereka terhadap pangkat dan jawatan sudah mengaburi segalanya.
“Mungkin, inilah yang dikatakan sebagai bala daripada ketaksuban pada falsafah dan sistem demokrasi Barat yang hanya mementingkan ‘nombor-nombor’ dari segalanya.
“Apabila berjaya dipilih rakyat, maka wang pula menjadi keutamaan mereka. Bak kata orang, “ada wang, semuanya boleh jalan”,” dakwanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan terdapat laporan bahawa drama politik Malaysia akan menjadi semakin hangat dengan satu lagi ‘kejadian besar’ dikhabarkan akan berlaku pada Julai.
Sinchew Daily melaporkan, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sedang berusaha untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), dan beliau hanya memerlukan tiga kerusi untuk mencapai hasrat itu.
Terdapat desas-desus mengenai kejayaan Dr Mahathir menambat hati tiga wakil rakyat yang diperlukan, malah tiga penyokong itu dikatakan berstatus menteri dan timbalan menteri.
Mengulas perkara itu, Haji Aminuddin mendakwa, tidak mustahil juga memang berlaku ‘jual beli’ Ahli-Ahli Parlimen kerana memang terdapat perkhabaran sebegitu dan itu kemungkinan paling besar yang bakal berlaku.
“Malah, apabila saya menyebut mengenai ‘jual beli’ Ahli Parlimen beberapa hari yang lalu, ada pemimpin parti politik yang menunjukkan perasaan tidak senang yang luar biasa dan cuba membuat siri-siri serangan peribadi terhadap saya terutamanya di Twitter, iaitu platform yang dikuasai oleh mereka.
“Namun, rakyat cerdik menilai kerana mereka sudah tidak mudah termakan dengan gelagat kebudak-budakan,” katanya.
Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) berkata, jika ‘muka-muka yang sama’ ini terus menjadi pemain utama politik Malaysia, usahkan parti boleh musnah, tetapi agama dan bangsa pun akan dipijak-pijak sahaja.
“Apa mereka kisah hanyalah kuasa dan kekayaan masing-masing. Nasib rakyat hanya akan dijadikan ratib-ratib apabila mahu menagih undi sahaja.
“Tunggu sahaja saat kehancuran jika mereka ini terus dijulang-julang menjadi pemimpin kita, baik sebagai pemimpin kerajaan mahupun pemimpin di pihak pembangkang.
“Mereka tahu yang mereka akan sentiasa ada pentaksub setia yang akan bermati-matian berjuang mempertahankan mereka walaupun salah,” katanya.
Justeru, beliau menyeru agar rakyat menyuarakan kekesalan masing-masing akan ketidakstabilan politik yang berlaku pada hari ini.
“Tolak ke tepi segala ‘topi’ dan ‘warna’ parti masing-masing pada ketika ini dan bersatu-padulah membangunkan negara kita yang sedang dilanda pelbagai krisis akibat wabak pandemik global yang dahsyat ini.
“Kita sabar sedikit sahaja lagi, sehingga Pilihanraya Umum ke-15 (PRU-15) nanti. Selepas itu, bersainglah secara sihat bagi merebut kuasa pemerintahan,” katanya.