Pemberhentian ahli Bersatu bertentang perundangan

Armada Bersatu Malaysia turut tolak pemecatan tidak berasas ini

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/5-brersatu-780x420.jpg

KUALA LUMPUR, 6 Syawal 1441H, Jumaat – Lima ahli Parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) malam ini mengeluarkan kenyataan bersama bahawa mereka tidak bersetuju keahlian mereka dalam parti itu terhenti serta-merta dan menyifatkannya bertentangan dengan undang-undang.

Kenyataan yang ditandatangani Tun Dr Mahathir Mohamad; Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Ketua Armada Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Majlis Tertinggi Dr Maszlee Malik, dan Ahli Parlimen Kubang Pasu Datuk Amiruddin Hamzah itu menyebut bahawa tindakan yang diambil parti menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan.

Mereka turut mendakwa surat itu ditandatangani individu yang tidak diberi kuasa di bawah perlembagaan parti.

Terdahulu, tular surat yang ditandatangani Setiausaha Kerja Bersatu Kapten (B) Muhammad Suhaimi Yahya berhubung pemberhentian keahlian Dr Mahathir serta empat ahli Parlimen parti itu berkuat kuasa serta-merta mengikut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan parti berikutan mereka menyertai dan duduk di blok pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat, 18 Mei lepas.

Sementara itu, Armada dalam kenyataan berasingan turut menyifatkan tindakan itu sebagai tidak sah dan tidak mengikut lunas perlembagaan parti selain tidak melalui lembaga disiplin parti.

“Armada Bersatu Malaysia menolak pemecatan yang tidak berasas ini,” menurut kenyataan Armada yang ditandatangani Ketua Penerangan Armada Malaysia Ulya Aqamah Husamudin. – Bernama