https://assets.hmetro.com.my/images/articles/IMG_20200527_181614_1590587960.jpg
A ASMADI menunjukkan gambar kenderaan yang dinaiki penjenayah yang merempuh SJR. FOTO Balqis Jazimah Zahari

40km dikejar polis

by

EMPAT lelaki dikejar polis sejauh kira-kira 40 kilometer (km) selepas cuba meloloskan diri daripada polis dengan merempuh tiga Sekatan Jalan Raya (SJR) di Ipoh, Kampar dan Tapah sebelum tiga daripadanya ditahan di kawasan Kampung Chenderiang, Ipoh, hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, ketiga-tiga suspek berusia 21, 23 dan 26 tahun yang ditahan itu didapati positif dadah, manakala seorang lagi melarikan diri.

Beliau berkata, kejadian 10.30 pagi itu berlaku ketika anggota polis yang menjalankan snap check di Jalan Sultan Nazrin Shah, Simpang Pulai, Ipoh menahan kenderaan Toyota Avanza yang dinaiki empat lelaki berkenaan kerana kesalahan pemandu menggunakan telefon bimbit.

"Suspek bagaimanapun enggan memberhentikan kenderaan dan terus lari dari snap check berkenaan dan cuba melanggar seorang anggota yang bertugas di SJR.

"Anggota kemudian mengekori kenderaan suspek yang menuju ke Jalan Changkat Larang dan menghubungi bilik gerakan untuk bantuan MPV dan daripada anggota daerah Kampar," katanya pada sidang media di Bilik Mesyuarat Utama Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, hari ini.

A Asmadi berkata, suspek kemudiannya melanggar SJR Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dengan merempuh papan tanda dan juga cuba melanggar anggota yang bertugas dan menuju ke arah pekan Kampar.

Beliau berkata, kenderaan suspek menuju ke Chenderiang, Tapah dan terus diekori polis dan pasukan petugas Covid Tapah.

"Op tutup diadakan di kawasan Chenderiang dalam usaha memberhentikan kenderaan suspek. Pelbagai usaha dilakukan dan suspek melanggar beberapa kereta yang di letakkan di bahu jalan.

"Anggota pasukan petugas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Balai Polis Chenderiang kemudiannya melepaskan tiga das tembakan dan mengenai pintu hadapan sebelah kiri, bahagian bawah sebelah kanan serta tayar hadapan sebelah kanan," katanya.

Menurutnya, kenderaan suspek akhirnya terbabas di tepi jalan serta melanggar tiang rumah penduduk kampung dan susulan itu tiga suspek berjaya ditangkap, manakala seorang lagi meloloskan diri.

Katanya, usaha dijalankan untuk mengesan suspek yang masih bebas dan hasil siasatan terhadap pemandu mendapati punca mereka melarikan diri daripada SJR pertama kerana diugut serta diacu pisau oleh suspek berkenaan.

"Maklumat daripada tangkapan pertama juga memberitahu mereka ada membawa dadah syabu dan dipercayai sudah dicampak ketika polis mengejar suspek dan polis menyiasat perkara berkenaan.

"Didapati semalam mereka datang ke Ipoh untuk berhibur dan merancang untuk balik semula hari ini tetapi berjaya ditangkap," katanya.

Ujian urin yang dijalankan mendapati semua suspek positif dadah methaphetamin dan ketiga-tiga mereka memiliki jenayah lampau membabitkan tangkapan dadah, curi kenderaan termasuk Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

"Tiga kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 serta Seksyen 42 dan Seksyen 43 APJ 1987," kata A Asmadi.

Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan