Lolos ke Malaysia di hari raya
by Abdul Rahemang TaimingPEJABAT Kesihatan Kawasan (PKK) Tawau sedang giat mengesan seorang pekerja warga asing sebuah ladang kelapa sawit dekat Tawau untuk menjalani ujian saringan Covid-19.
Pekerja terbabit dipercayai melarikan diri selepas didapati masuk ke Tawau secara haram melalui 'laluan tikus' selain tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah.
Sumber memberitahu, pekerja ladang terbabit dipercayai masuk dari Indonesia melalui laluan tikus pada hari pertama sambutan Aidilfitri.
"Sebelum ini, pekerja ladang terbabit bersama rakannya sudah pulang ke Indonesia sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada 18 Mac lalu.
"Bagaimanapun polis bantuan di ladang berkenaan dimaklumkan penduduk apabila menyedari kehadiran kedua-dua pekerja terbabit yang tiba-tiba muncul dan berada di perumahan pekerja ladang," katanya ketika dihubungi.
Katanya, polis bantuan kemudian menghubungi pihak PKK bagi memaklumkan kemunculan pekerja terbabit berikutan larangan kemasukan warga asing ke negara ini bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Sementara itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran ketika dihubungi mengesahkan perkara itu dan memaklumkan rakan pekerja ladang terbabit sudah dibawa untuk menjalani ujian saringan itu.
"Kami sudah ke perumahan ladang berkenaan untuk membawa pekerja terbabit itu menjalani ujian saringan manakala rakannya kini sedang dikesan," katanya.
Terdahulu, tular di Facebook memaparkan gambar petugas kesihatan bersama polis bantuan hadir di kawasan perumahan ladang yang dipercayai ada kaitan jangkitan wabak Covid-19.