Sudah sampai masa kerajaan haramkan arak!

Statistik buktikan 45 peratus minum arak murah babitkan golongan belia

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/minumanalkohol.jpg

BANGI, 4 Syawal 1441H, Rabu – Kerajaan didesak mengharamkan arak dalam apa jua bentuk atau keadaan serta menolak sebarang aktiviti berkaitan minuman keras demi kebaikan rakyat.

Desakan dilontarkan Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) susulan melihat kepada kesan dan akibat serta sejarah panjang mengenai kemudaratan pengaruh arak yang memabukkan.

Ketua Medianya, Haji Rashidi Haris berkata, pengambilan alkohol jelas mendatangkan kesengsaraan dan penderitaan kepada peminum, keluarga, masyarakat sekeliling.

Bahkan katanya, arak juga mampu menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara jika yang terbabit adalah belia yang juga tonggak dan pewaris bangsa dan ummah.

“Justeru, kerajaan didesak mengambil tindakan bukan hanya drastik secara holistik bagi membendung gejala yang tidak diingini ini melalui tindakan perundangan tetapi pesalah harus dikenakan hukuman yang berat sehingga mendatangkan keserikan kepada yang lain untuk melakukannya.

“Hukuman mesti setimpal agar setara dengan apa yang termaktub pada Perkara 3(1) Perlembagaan, jika tidak ia sangat mendukacitakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Haji Rashidi berkata, masalah sosial akibat penjualan arak amat ketara seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri, gangsterisme, kemalangan, dan pelbagai masalah sentiasa menular di kalangan masyarakat di Malaysia.

Katanya, statistik kerajaan membuktikan bahawa hampir 45 peratus manusia yang minum arak murah di Malaysia adalah golongan belia bawah umur 18 tahun.

“Kini di pasaran terdapat lebih dari 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di paras bawah RM30 dengan kandungan 40 peratus alkohol dengan isi padu 750ml.

“…manakala yang paling murah dijual ialah RM1.70 sebotol isi padu 125ml dengan kandungan 38 peratus alkohol, ia sangat murah dibandingkan dengan air bergas seperti 100 Plus atau sebungkus Milo ais.

“Pelbagai jenama yang menarik perhatian remaja bawah umur 18 tahun untuk mencuba arak-arak murah ini,” katanya.