Perkahwinan dalam tempoh PKPB di Kedah tidak wajib kursus

Hanya jalani temuduga ringkas sebelum melangsungkan akad nikah

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/GAMBARPERKAHWINAN-780x470.jpg
Gambar hiasan.

ALOR SETAR, 4 Syawal 1441H, Rabu – Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK) memberikan kelonggaran kepada pasangan yang berhasrat melangsungkan perkahwinan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri ini, untuk tidak perlu hadir kursus praperkahwinan seperti yang diwajibkan sebelum ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kebiasaannya pasangan yang akan bernikah diwajibkan menghadiri kursus praperkahwinan bagi tempoh sekurang-kurangnya enam jam.

“Oleh kerana tiada kelas (kursus) sebab PKPB ini, kelonggaran diberi bagi calon yang belum hadir kursus, hanya perlu jalani temuduga ringkas, sebelum melangsungkan akad nikah,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

Beliau berkata, proses temuduga berkenaan akan dikendalikan pihak jabatan agama daerah dan hanya mengambil masa antara 10 hingga 15 minit, sebelum proses akad nikah dilakukan.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri akan memohon kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), supaya membenarkan bilangan feri ke Langkawi ditambah untuk beroperasi sepanjang tempoh PKPB ini.

Katanya, pada masa ini hanya sebuah feri sahaja yang dibenarkan beroperasi setiap hari, dengan dua sesi iaitu pada sebelah pagi dan petang.

“Bila PKPB, jumlah penumpang feri terhad sebab perlu ada jarakan sosial, kos minyak dan operasi feri masih sama, jadi tak dapat nak tampung (kos operasi), nak mohon surcaj pun ia di bawah bidang kuasa MOT,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, beliau akan meminta exco kerajaan negeri yang berkaitan untuk mengadakan perbincangan dengan kementerian itu, bagi mempertimbangkan penambahan bilangan feri atau menyediakan subsidi kepada pengusaha feri. – Bernama