https://i1.wp.com/intraday.my/wp-content/uploads/2020/05/gg4t.jpg?resize=750%2C430&ssl=1

INTRADAY.my - Website Pasaran Kewangan No 1 di Malaysia

Sebarang Campur Tangan Asing Terhadap Isu Hong Kong Akan Terima Akibatnya! – China

by

China akan mengambil langkah yang sewajarnya terhadap sebarang campur tangan asing mengenai undang-undang keselamatan baru di Hong Kong yang telah mencetuskan kontroversi sejak ia mula diusulkan di parlimen minggu lalu.

Jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian membuat pernyataan tersebut dalam taklimat harian sebagai tindak balas kepada pertanyaan mengenai komen Presiden AS Donald Trump bahawa White House kini sedang merancang untuk mengenakan tindakan balas yang tegas terhadap Beijing susulan perlaksanaan rang undang-undang tersebut.

Terdahulu, Penasihat Keselamatan Negara White House, Robert O’Brien memberitahu pada hari Ahad bahawa Amerika Syarikat berkemungkinan akan mengenakan sekatan baru terhadap China jika negara itu tetap dengan pendiriannya untuk menimplementasikan undang-undang ke atas Hong Kong.

Donald Trump yang juga tidak menyenangi dengan tindakan China itu, memberitahu bahawa beliau tidak melihat bagaimana Hong Kong akan tetap menjadi hub kewangan jika Beijing mengambil alih.

Tambahan daripada itu, Trump juga memaklumkan bahawa beliau akan mengumumkan tindak balas pentadbirannya terhadap tindakan China pada akhir minggu ini.

Dalam pada itu, tindakan ekonomi kedua terbesar dunia itu turut mendapat perhatian dunia, di mana UK, Australia dan Kanada telah mengeluarkan kenyataan bersama pada Jumaat lalu, yang menyatakan keprihatinan mereka terhadap rancangan Beijing.

Selain itu, Presiden Majlis Eropah, Charles Michel turut menyatakan pandangannya dengan menyeru China supaya menghormati prinsip ‘satu negara, dua sistem’ terhadap hak autonomi Hong Kong.

Di samping itu, diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU), Josep Borrell pula mengatakan usaha China untuk mengetatkan kawalannya di Hong Kong boleh menimbulkan ancaman terhadap peraturan antarabangsa.