Benarkah kerajaan serius tangani pemandu mabuk?
Kita tak boleh minta Islam tangani isu berpunca dari ideologi manusia
by fazleensafinaSEKIRANYA pihak kerajaan atau Kementerian Pengangkutan benar-benar serius untuk mencegah peningkatan statistik pemandu-pemandu mabuk di jalanraya, maka tidak ada keperluan langsung untuk membuat soal selidik mengenai Pengambilan Alkohol dan Penguatkuasaan Undang-Undang yang lebih tegas terhadap kesalahan memandu dalam keadaan mabuk.
Bagaimana pendirian kerajaan dan Kementerian Pengangkutan nanti sekiranya hasil soal selidik itu menunjukkan peratusan bantahan yang tinggi, terhadap sebarang usaha untuk mengenakan hukuman yang lebih berat kepada pemandu-pemandu mabuk?
Adakah kerajaan akan meneruskan juga pindaan untuk menguatkuasakan hukuman yang lebih berat tersebut, meskipun telah ditolak oleh “majoriti rakyat”?
Saya percaya soal selidik ini hanya untuk mententeramkan dan meredakan sentimen rakyat yang sangat marah dengan insiden-insiden pemanduan mabuk, yang mengakibatkan kehilangan nyawa dan kecederaan sejak akhir-akhir ini.
Kertas kerja atau hasil kajian tentang isu ini sudah ada di tangan kerajaan, bahkan sejak zaman PH memerintah lagi. Tetapi rakyat tertanya-tanya kenapakah begitu lambat sekali untuk dipinda.
Berapa ramai lagikah rakyat Malaysia perlu dikorbankan untuk “merenjat” pihak kerajaan supaya segera bertindak?
Perlukah rakyat turun sekali lagi untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran (selepas pandemik COVID-19) untuk menuntut supaya kerajaan tidak menjadi seperti kura-kura dalam isu ini?
Saya ingin menegaskan bahawa gejala pemanduan mabuk ini bukanlah isu hakiki tetapi adalah “tip of the iceberg” sahaja.
Terdapat isu-isu lebih besar di belakangnya: Industri arak, hasil percukaian dan pendapatan negara, nilai hidup, corak dan budaya golongan korporat dan profesional dengan Annual Dinner mereka, kepentingan-kepentingan politik dan peranan pemegang-pemegang pertaruhan.
Gejala pemanduan mabuk ini tidak boleh dipandang atau dinilai secara terpencil.
Kita juga tidak boleh mengabaikan kewujudan pihak-pihak yang akan lantang membantah sebarang usaha untuk menyekat atau menghalang “hak asasi” dan “kebebasan” individu/peribadi untuk “menunggang” arak sampai mampus di Malaysia!
Perhatikan saja gelagat mereka dalam isu Oktoberfest!
Pengharaman arak juga tidak akan menyelesaikan masalah sosial ini sebagaimana yang telah terbukti di Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Prohibition Era satu masa dahulu.
Terdapat juga satu kecenderungan untuk mengaitkan penyelesaian Islam terhadap isu ini, malah terhadap gejala-gejala sosial negatif yang lain.
Saya tidak faham kenapa ia boleh jadi begini.
Sebagai penegasan, saya ingin mengatakan bahawa kita tidak boleh meminta Islam untuk menyelesaikan masalah-masalah yang ditimbulkan oleh dan berpunca dari sistem atau ideologi ciptaan manusia.
Kalau inilah pendekatannya, maka peranan Islam akan diperkecilkan sebagai tempelan-tempelan yang berfungsi untuk suatu tempoh tertentu sahaja. Perbahasan isu ini perlu kepada satu penulisan lain pula.
Memadailah buat masa ini kita perhatikan dan memantau sama ada pihak kerajaan memiliki qudrat siasiyah (political will) untuk menyelesaikan masalah pemanduan mabuk ini secara berkesan dan muktamad.
Kalau tidak, kita tunggu dan lihat sajalah siapa pula yang akan menjadi mangsa selepas ini.
Mohd Luttfi Abd Khalid
Pengerusi Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam)
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis. Ia tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), mahupun Ismaweb.net.