https://i1.wp.com/intraday.my/wp-content/uploads/2020/05/hssjq.jpeg?resize=750%2C430&ssl=1

INTRADAY.my - Website Pasaran Kewangan No 1 di Malaysia

Ketegangan AS-China Bantutkan Keyakinan Pelabur Terhadap Vaksin COVID-19

by

Sentimen pasaran terus disokong oleh berita-berita positif mengenai pembukaan semula ekonomi di beberapa di seluruh dunia dan perkembangan mengenai vaksin COVID-19 yang memberangsangkan.

Terbaru, satu lagi firma bioteknologi Amerika Syarikat mengumumkan bahawa ia telah memulakan ujian vaksin ke atas manusia, di Australia. Hasil daripada ujian seterusnya akan dikeluarkan pada bulan Julai, di mana fasa pengujian berikutnya bakal dimulakan.

Hal ini sekali gus menyokong kenaikan dalam matawang dan ekuiti yang mencerminkan harapan pasaran terdapat pemulihan semula ekonomi dengan penemuan vaksin COVID-19. Setakat ini, terdapat 12 vaksin yang berbeza sedang diuji di seluruh dunia.

Bagaimanapun, ketegangan antara AS dan China yang semakin meningkat telah membataskan pergerakan matawang utama pada sesi Asia hari ini setelah terdapat laporan yang kurang menyenangkan daripada Presiden AS Donald Trump yang memberi isyarat bahawa sekatan ke atas Beijing akan diumumkan menjelang hujung minggu ini.

Indeks dolar yang mengukur kekuatan dolar greenback berbanding enam matawang utama lain, diniagakan meningkat pada 99.04.

Hubungan antara dua ekonomi gergasi dunia ini bertambah buruk berikutan usaha China untuk melaksanakan undang-undang keselamatan di Hong Kong, di mana ia telah menimbulkan ancaman daripada Trump untuk mengenakan tindak balas yang lebih keras terhadap Beijing jika ia dilaksanakan.

Sementara itu di Eropah, matawang pound susut sedikit selepas diniagakan meningkat berbanding USD yang disokong oleh laporan menunjukkan kemajuan dalam rundingan pasca-Brexit antara UK dan Kesatuan Eropah (EU).

EU dilaporkan bersedia untuk mengubah permintaannya terhadap akses penangkapan ikan di perairan UK, yang mana rundingan bagi peringkat seterusnya akan berlangsung pada minggu depan.

Langkah rangsangan daripada Bank Pusat Eropah (ECB) terus menyokong dagangan matawang euro untuk kekal diniagakan tinggi berbanding USD. Ahli ECB, François Villeroy de Galhau mengatakan bank pusat mungkin akan melaksanakan lebih banyak lagi rangsangan jika diperlukan.

Di sisi lain, dolar Aussie diniagakan meningkat meskipun terdapat tekanan daripada China yang mengumumkan pengenaan 80% tarif ke atas barli dari Australia, sementara dolar kiwi juga kekal diniagakan tinggi di paras ketinggian 2 bulan walaupun berdepan dengan ketegangan hubungan AS-China.