Samun dua beradik, 3 lelaki ditahan

Mangsa rugi RM10,000, cedera parah, dirawat di Hospital P. Pinang

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/81520837588_PDRM-3.jpg

GEORGE TOWN, 4 Syawal 1441H, Rabu – Polis menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung kes samun membabitkan dua beradik, yang mengalami kecederaan parah dan kerugian RM10,000 dalam kejadian di Jalan Brown, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada kira-kira 6.20 petang daripada bapa mangsa memaklumkan bahawa dua anak lelakinya, yang masing-masing berusia 26 dan 27 tahun, telah disamun tiga lelaki.

“Dalam kejadian samun itu, mangsa pertama mengalami kecederaan luka di kepala dan kesan kelar pada kedua-dua tangan manakala adiknya mengalami kecederaan luka di kepala, mereka menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang,” katanya di sini malam ini.

Beliau berkata, kedua-dua mangsa memaklumkan bahawa mereka disamun dan dipukul oleh tiga lelaki tidak dikenali semasa berada di Jalan Brown sebelum suspek melarikan wang tunai RM5,000 serta seutas rantai emas juga bernilai RM5,000.

Katanya, seorang suspek bersenjatakan sebilah parang ketika kejadian serta bertindak mencederakan mangsa dan siasatan mendapati, dua beradik itu dapat mengecam tiga lelaki terbabit.

Berikutan itu, Soffian berkata, polis telah melakukan dua serbuan di sekitar George Town pada 11 malam tadi dan 4 pagi hari ini, sebelum menahan tiga lelaki berusia lingkungan 23 hingga 48 tahun bagi membantu siasatan kes samun berkenaan.

“Siasatan awal mendapati tiga lelaki itu terlibat dalam kejadian samun berkenaan dan polis juga tidak menolak kemungkinan mereka turut terlibat dalam beberapa lagi kes samun di sekitar daerah itu namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, dua suspek memiliki rekod jenayah lampau dan ketiga-tiga lelaki ditahan reman selama lima hari.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun sehingga menyebabkan kecederaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan. -Bernama