https://assets.hmetro.com.my/images/articles/Capturekeling_1590388627.jpg
SEBAHAGIAN orang ramai didakwa hadir ke upacara perkahwinan di kuil di Seri Kembangan, Serdang, hari ini. FOTO ihsan pembaca.

Majlis perkahwinan di kuil langgar PKPB

by

POLIS akan membuka siasatan berhubung kejadian tular membabitkan majlis perkahwinan di sebuah kuil di Serdang Raya, di sini, semalam, kerana dipercayai melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, pihaknya menerima dua laporan polis berkaitan video terbabit.

"Kami menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 41 tahun jam 12.04 tengah malam tadi selepas dia dimaklumkan gambar peribadinya ditularkan di beberapa kumpulan WhatsApp ekoran pendedahannya dalam satu artikel bertajuk 'Majlis perkahwinan dilangsungkan di kuil ibadat Taman Serdang Raya, Seri Kembangan'.

"Dalam artikel itu memaklumkan mengenai pendedahan kejadian terbabit yang menyaksikan kehadiran puluhan individu melanggar PKPB," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ismadi berkata, video terbabit juga diambil sendiri oleh lelaki berkenaan ketika dia mahu ke tempat kerja.

"Susulan itu, Ketua Polis Balai Seri Kembangan bersama anggota bertemu dengan pihak pengurusan kuil terbabit dan mereka mengakui ada majlis perkahwinan berlangsung antara jam 8 hingga 10 pagi dengan kehadiran kira-kira 20 hingga 30 individu, semalam.

"Justeru, kami melakukan siasatan mengikut Seksyen 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 dan usaha sedang dilakukan untuk mengesan semua mereka yang terbabit," katanya.

Beliau berkata, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

"Semua pihak diminta bertenang dan tidak mengeluarkan komen yang boleh memecahkan keamanan dan mendatangkan kegusaran awam.

"Kami juga meminta semua pihak supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) supaya rantaian pandemik Covid-19 dapat dibendung," katanya.

Berita berkaitan:

Polis nafi majlis perkahwinan di kuil

Lagberita berkaitan perintah kawalan pergerakan