Tak wajar guna batang penyapu jadi tongkat khutbah: Mufti

Sunat pegang tongkat ketika baca khutbah, tak pegang pun tak apa

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/75A874F6-5558-4BA4-AC73-A0B6FB2AFB8A-780x470.jpeg

BANGI, 2 Syawal 1441H, Isnin – Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyifatkan penggunaan seperti batang penyapu untuk dijadikan tongkat ketika membaca khutbah adalah sesuatu yang tidak wajar.

Beliau yang mengulas gelagat segelintir individu menggunakan pelbagai barang ketika membaca khutbah selepas solat sunat Aidilfitri di kediaman masing-masing berkata, tindakan berkenaan dilihat untuk meraih ganjaran pahala sunat.

Katanya, berdasarkan sejarah Islam ketika zaman Nabi Muhammad SAW, baginda menggunakan pedang ketika membaca khutbah yang kemudian diubah suai dan diganti dengan tongkat.

“Memegang tongkat semasa membaca khutbah hukumnya adalah sunat dan jika tida memegang apa-apa pun tidak mengapa.

“Barangkali pihak berkhutbah itu mahu meraih ganjaran pahala sunat,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mohamad Shukri berkata, tidak mengapa menggunakan barang seperti kayu golf sebagai tongkat ketika membaca khutbah, kerana semua bergantung kepada pentafsiran individu yang melihat situasi itu.

“Saya rasa atas pentafsiran individu yang menilai dan kata menggunakan kayu golf itu sebagai jenaka. Pada saya guna kayu golf masih ada penghormatannya sebab individu berkenaan nak ambil hukum sunat pegang tongkat.

“Kecuali jika umum melihat tidak sesuai misalnya menggunakan batang penyapu, ia adalah sesuatu yang tidak wajar,” katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai satu bahan lawak, seperti tular di media sosial.

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh, apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak,” katanya.