Lelaki ceroboh Istana Iskandariah positif dadah

Suspek acu pistol mainan dan pisau pada anggota polis

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/A03AFE36-769F-4854-A085-E5AC927E91AB.jpeg

KUALA KANGSAR, 2 Syawal 1441H, Isnin – Seorang lelaki menceroboh Istana Iskandariah, hari ini dengan merempuh pagar utama di hadapan istana menggunakan Perodua Myvi.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek yang merupakan pemandu lori pada mulanya meminta kebenaran memasuki istana daripada pengawal yang menjaga pintu utama hadapan istana.

Bagaimanapun, permintaan itu ditolak lalu dia bertindak merempuh pagar berkenaan menggunakan kereta Perodua Myvi yang dipandunya.

Razali seperti dilapor BH Online berkata, semasa tiba di anjung istana, suspek berusia 30 tahun itu keluar daripada kereta sambil mengacukan pistol mainan serta sebilah pisau.

Ia menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota polis.

“Ujian air kencing menunjukkan suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine selain mendakwa melakukan perbuatan itu selepas kononnya dititahkan untuk menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

“Ujian psikiatri terhadap suspek asal Gerik itu masih belum dijalankan namun kemungkinan besar perbuatannya itu dilakukan kerana pengaruh dadah.

“Hanya kecederaan ringan iaitu calar kecil yang dialami anggota polis sewaktu pergelutan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, di sini, hari ini.

Razali berkata, empat kertas siasatan dibuka susulan kejadian iaitu mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan, masing-masing kerana melakukan bencana pada pagar istana serta pencerobohan istana.

“Selain itu, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang tugas penjawat awam, selain turut disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960,” katanya.

Katanya, permohonan reman suspek akan dibuat esok di Mahkamah Taiping.