Raya suram, ekonomi kita terjejas teruk, banyak perniagaan rugi besar

Keadaan ketika ini, jangka masa panjang tidak begitu baik, kata Najib

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/E464CA0D-5F32-4566-9A3A-34B98710822D.jpeg

BANGI, 2 Syawal 1441H, Isnin – Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilonggarkan dan syarikat-syarikat boleh kembali beroperasi, Datuk Seri Najib Razak berpandangan keadaan jangka masa panjang ekonomi negara tidak akan menjadi begitu baik.

Ini kerana, katanya, banyak perniagaan mengalami kerugian besar, bahkan ada yang terpaksa ditutup dan berhenti operasi selamanya.

“Saya rumuskan raya tahun ini sebagai sambutan dalam suasana yang muram. Kerana PKP dan COVID-19, ekonomi kita terjejas teruk. 

“Terus terang saya kata, keadaan pada masa ini dan dalam jangka masa yang panjang nanti tidak begitu baik.

“Things are not the same anymore and not looking good,” katanya dalam tulisan di laman Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keadaan itu turut tidak terkecuali bagi peniaga kecil, usahawan dan yang bekerja sendiri yang sudah beberapa bulan tidak ada pendapatan.

“Ramai yang kehilangan kerja dan tidak ada lagi punca pendapatan. Boleh bayangkan macam mana mereka nak menyambut Raya tahun ini?

“Amat menyedihkan apabila kita fikir akan keadaan mereka semua. Dengan bil-bil yang perlu dibayar, dengan keperluan untuk sara hidup diri dan keluarga, lebih-lebih lagi yang mempunyai anak kecik.

“Saya tahu mereka bimbang akan masa depan mereka dan keluarga,” katanya yang kini masih berdepan dengan pertuduhan di mahkamah. 

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati mengikut SOP kesihatan ketat bermula 4 Mei.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi tertakluk syarat-syarat ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Bagaimanapun, beliau menegaskan, masih ada jenis perniagaan yang masih tidak dibenarkan beroperasi kerana dibimbangi melibatkan sentuhan badan dan aktiviti perhimpunan awam antaranya panggung wayang, pusat karaoke, pusat refleksologi, serta semua bentuk persidangan dan perhimpunan orang awam.

Senarai lengkap perniagaan atau aktiviti yang tidak dibenarkan beroperasi boleh dirujuk di laman web Majlis Keselamatan Negara.

Difahamkan senarai itu akan disemak dari semasa ke semasa bergantung kepada perkembangan kes jangkitan COVID-19.