Penduduk Yaman mangsa ‘korban perang’ di Aidilfitri

48 serangan udara dilancar di pelbagai kawasan miskin dilanda krisis

by
https://ismaweb.net/wp-content/uploads/2020/05/1B4CB0B0-B947-4E55-8743-540D0DF786DC.jpeg

SANA’A, 2 Syawal 1441H, Isnin – Sekurang-kurangnya tiga orang awam terkorban dalam serangan udara oleh pakatan pimpinan Arab Saudi di wilayah Sa’ada di barat laut pergunungan Yaman ketika perayaan Aidilfitri.

Rangkaian televisyen al-Masirah berbahasa Arab melaporkan bahawa pesawat tentera yang dipimpin Arab Saudi melancarkan serangan di daerah Maran di daerah Haydan, menyebabkan tiga maut dan ramai lagi dilaporkan cedera. 

Pada hari sama, seorang budak lelaki berusia 8 tahun cedera ketika anggota tentera disokong Arab Saudi – yang setia kepada bekas presiden Yaman, Abd Rabbuh Mansur Hadi, menggeledah kawasan perumahan di daerah al-Durayhimi di wilayah pesisir barat Yaman, wilayah Hudaydah.

Secara berasingan, jurucakap Angkatan Bersenjata Yaman menyatakan bahawa pesawat perang Arab Saudi melancarkan 48 serangan udara terhadap pelbagai kawasan di seluruh negara Arab yang miskin dan dilanda krisis.

Brigadier Jeneral Yahya Saree memberitahu, sembilan serangan udara dilancarkan di daerah Majzar di wilayah Ma’rib, pusat Yaman, sementara pesawat yang dipimpin Arab Saudi menyerang kawasan yang berlainan di wilayah al-Jawf, Yaman utara.

Arab Saudi dan sejumlah sekutu serantau melancarkan perang yang dahsyat di Yaman pada bulan Mac 2015 untuk membawa Hadi kembali berkuasa dan menghancurkan gerakan Houthi Ansarullah.

Lebih daripada separuh hospital dan klinik Yaman telah musnah atau ditutup semasa perang oleh pakatan pimpinan Arab Saudi, yang disokong secara oleh UK, AS dan negara-negara Barat yang lain.

Sekurang-kurangnya 80 peratus daripada 28 juta penduduk juga bergantung pada bantuan untuk bertahan dalam apa yang disebut oleh PBB sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia. – Agensi