'Tolong uruskan satu rangka manusia...'
by Amirul Aiman HamsuddinNOTA misteri diletakkan dalam peti surat Surat Batu 11, membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki di rumah tidak berpenghuni di Kampung Melaka, Bagan Tengkorak, Tanjong Karang, semalam.
Dalam kejadian 2 petang itu, jemaah surau itu baru selesai menunaikan solat Zuhur terkejut menemui nota yang meminta penduduk kampung menguruskan jenazah.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melaka, Mohd Jamil Baharom berkata, dia mengetahui kejadian itu selepas dimaklumkan seorang penduduk.
“Saya hadir pada 5 petang dan ketika itu, pihak polis dan penduduk kampung berada di lokasi kejadian.
“Saya masuk ke dalam rumah dan terkejut melihat jasad manusia berada dalam keadaan terlentang," katanya kepada Harian Metro, hari ini.
Beliau berkata, mayat itu dipercayai lelaki warga Indonesia berusia 60-an dan dikenali penduduk setempat.
Menurutnya, mayat dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) pada 6 petang untuk bedah siasat.
Dalam pada itu, Mohd Jamil berkata, rumah itu sebelum ini dimiliki seorang guru lelaki yang menetap bersama keluarganya, namun dia meninggal dunia dan kediaman itu dijual sekitar 1990-an.
“Dia (lelaki warga Indonesia) sebelum ini mengambil upah membersihkan persekitaran rumah itu, tetapi dia tidak kelihatan setahun lalu.
“Saya difahamkan arwah mungkin datang semula ke kampung ini dan mungkin baru sebulan meninggal dunia," katanya.
Mohd Jamil berkata, penduduk kampung hairan dan pelik mayat itu dalam keadaan sempurna dan tidak berbau selain menganggap ia kebesaran Allah.
Katanya, pada waktu hayatnya, arwah baik hati, sering berjemaah di surau dan tidak banyak bercakap," katanya.
Sementara itu, peniaga kedai makan, Zainab Dimin, 63, berkata, dia yang pulang dari pasar terkejut melihat polis dan penduduk kampung berkumpul di rumah itu.
“Jarak kedai makan saya dengan rumah itu kira-kira 120 meter dan saya tidak pernah terhidu bau mencurigakan sebelum ini
“Pelanggan yang biasa ke kedai memaklumkan ada mayat dalam rumah tu. Sepanjang beroperasi, saya dan pekerja tidak hidu bau pelik.
“Malah, jiran sebelah rumah itu turut terkejut apabila dimaklumkan perkara itu," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Md Asri A Wahab mengesahkan kejadian itu dan kes disiasat sebagai mati mengejut.