'Ya, Abu Samah'
by Saiful Affendy SapranPERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah presiden badan induk itu, Datuk Abu Samah Abd Wahab.
Timbalan Presiden PKBM, Yunus Ibrahim berkata, biarlah siasatan dilakukan terlebih dahulu oleh SPRM sebelum sebarang tindakan susulan dapat dilakukan.
Katanya, adalah satu prosedur yang biasa untuk seseorang individu ditahan bagi membantu siasatan.
"Sebab kami pun tidak pasti kes mana yang disiasat oleh SPRM. Jadi lebih baik untuk ruang diberikan kepada SPRM terlebih dahulu.
"Di pihak PKBM, kami di barisan kepimpinan tetap berada di belakang presiden," katanya.
Jelas Yunus, satu mesyuarat akan diadakan dalam tempoh terdekat untuk membincangkan beberapa perkara termasuklah isu penahanan Abu Samah.
"Segala perancangan perlu diteruskan seperti biasa dan mungkin salah satu yang akan dibincangkan adalah mengenai penahanan ini," katanya ketika dihubungi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki menerusi laporan Arena Metro semalam mengesahkan penahanan seorang presiden persatuan sukan kebangsaan.
Jelasnya, suspek di bawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya kelmarin untuk direman dan mahkamah membenarkan reman selama empat hari sehingga 2 Februari ini.
Difahamkan penahanan itu bagi membantu siasatan atas dakwaan menyalahgunakan kuasa dalam urusan pemberian kontrak berkaitan persatuan sukan yang diterajuinya.
Berita berkaitan
• SPRM sah penangkapan pemimpin persatuan sukan