INTRADAY.my - Website Pasaran Kewangan No 1 di Malaysia
Debaran Brexit Kian Terasa, Ini Kedudukan Terkini Matawang Utama Sesi Eropah
by Team INTRADAYSesi pasaran Eropah hari ini menyaksikan matawang pound terus meraih pengukuhan berbanding US dolar untuk diniagakan di atas paras 1.3100, menjelang beberapa jam sahaja lagi bagi UK meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).
Peningkatan matawang pound sebelum ini telah dipacu oleh pandangan hawkish Bank of England (BoE) mengenai ekonomi UK dan keputusan untuk mengekalkan kadar faedah meskipun pada awalnya pasaran menjangkakan bank pusat itu akan menurunkannya.
Britain bakal menjadi negara anggota pertama yang meninggalkan blok itu sejak menyertainya pada tahun 1973 manakala pada masa yang sama, EU juga akan kehilangan 15% daripada ekonominya.
Sementara beberapa perhimpunan untuk meraikan Brexit akan diadakan, ucapan Perdana Menteri UK Boris Johnson akan menjadi tumpuan utama buat pasaran yang menantikan petunjuk mengenai masa depan hubungan EU dan UK.
Dolar euro kembali meningkat berbanding USD menjelang penerbitan data inflasi dan GDP Zon Eropah pada petang ini.
Kebimbangan terhadap risiko coronavirus terus memberi kesan buat pasaran kewangan terutamanya buat matawang Asia iaitu dolar Aussie yang diniagakan menghampiri paras terendah empat bulan manakala kiwi pula didagangkan mencecah paras terendah dua bulan berbanding USD.
Kedua-dua matawang telah menyusut lebih 1.5% pada minggu ini manakala pada bulan ini sahaja dolar Aussie telah mencatat kejatuhan sebanyak 4%, menjadikannya sebagai prestasi bulanan terburuk sejak Mei 2016.
Dagangan US dolar pula mula mempamerkan penurunan berbanding safe-haven yen pada sesi Eropah, namun indeks dolar berbanding matawang utama masih didagangkan mengukuh kepada 97.88.
Matawang yuan China pula diniagakan stabil selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan keyakinannya bahawa tindakan yang diambil oleh Beijing setakat ini boleh mengekang penyebaran coronavirus.