https://assets.hmetro.com.my/images/articles/najmah_1575873869.jpg
NAJIB (kiri) dan Rosmah. FOTO Arkib NSTP

Najib hadiahkan Rosmah jam tangan RM466,330

by

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur, hari ini, diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak membeli jam tangan untuk hari ulang tahun isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor berharga AS130,625 (RM466,330.11) di butik Chanel, Honolulu, Hawaii.

Najib berkata demikian ketika memberi keterangan berhubung dua transaksi kad kredit miliknya yang dibangkitkan isunya ketika perbicaraan.

Menurutnya, pembelian itu dibuat pada 22 Disember 2014 bersempena bulan kelahiran isterinya.

Bagi satu lagi transaksi berjumlah RM127,017.46 di Hotel Shangri-La, Bangkok pada Januari 2015, Najib berkata ia adalah sejurus selepas lawatan memeriksa keadaan banjir di Kota Bharu, Kelantan.

“Sejurus selepas lawatan itu saya menyambung percutian peribadi ke Bangkok, Thailand. Meskipun perjalanan itu adalah percutian peribadi, saya mengambil peluang untuk bertemu dengan rakan sejawat Thailand saya, Tuan Yang Terutama Prayut Chan-o-Cha untuk membincangkan bagaimana kerajaan Thailand dapat membantu kita berkenaan dengan banjir.

“Pembayaran di hotel ini adalah meliputi penginapan saya dan juga kakitangan sokongan, termasuklah perbelanjaan di luar jangkaan dan yang diperlukan sepanjang perjalanan ini. Ia menjadi hak saya untuk menuntut kembali perbelanjaan daripada kerajaan memandangkan saya membuat kerja sewaktu percutian saya,” katanya.

Bagaimanapun menurut Najib, beliau memilih untuk menanggung semua perbelanjaan kerana tidak mahu merumitkan perkara.

Sementara itu berhubung penyata kad kredit yang menunjukkan perbelanjaan sebanyak RM3,282,734.16 (EU763,500.00) di sebuah kedai emas terkenal, De Grisogono di Sardinia, Itali, Najib berkata ia adalah pembelian hadiah untuk isteri bekas Perdana Menteri Qatar, Sheikh Ahmed Jassim Al Thani.

“Saya berada di Itali untuk percutian peribadi bersama keluarga. Sewaktu berada di sana saya terjumpa Sheikh Ahmed Jassim Al Thani. Ia adalah kebetulan dan kami merancang untuk bertemu di Sardinia.

“De Grisigono adalah gudang pakar barang kemas mewah dan jam tangan di Itali. Pembelian pada 8 Ogos 2014 itu adalah berkaitan dengan barang kemas yang dibeli sebagai hadiah kepada Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie (isteri Sheikh Ahmad),” katanya.

Najib berkata, Malaysia dan Qatar berkongsi hubungan diplomatik yang menguntungkan.

“Bekas Perdana Menteri Qatar dan isterinya itu ada beberapa kali memberi hadiah kepada isteri saya dan saya sewaktu kunjungan rasmi mereka ke Malaysia.

“Atas dasar itu, ia adalah sesuatu yang tidak akan dilakukan oleh kami untuk membalas dengan apa-apa yang kurang daripada menepati kedudukan dan kemurahan hati mereka,” katanya.

Menurut Najib, beliau tidak mahu menggunakan dana awam bagi pembelian hadiah sebaliknya menggunakan akaun baru yang sudah tersedia ada.

“Ia atas kepercayaan saya yang telus bahawa dana di dalam akaun ini akan dibelanjakan atas budi bicara saya sendiri dan ia akan memberi manfaat kepada Malaysia.

“Sejurus selepas kepulangan kami ke Malaysia, Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie ada menghantar nota terima kasih kepada isteri saya atas hadiah yang kami sampaikan kepada beliau semasa perjumpaan kami di Sardinia,” katanya.

Menjawab soalan peguam Razlan Rahmat sama ada beliau berhak membelanjakan dana untuk hadiah mewah, Najib berkata beliau mengekalkan budi bicara penuh berhubung membelanjakan dana dalam akaun.

“Sewajarnya, saya merasakan bahawa pembelian yang mana kami lakukan di De Grisigino adalah suatu yang dibenarkan secara diplomatik,” katanya