https://assets.hmetro.com.my/images/articles/dai_1575863598.jpg
Shweta memenangi Kostum Kebangsaan Terbaik. FOTO/AGENSI

Malaysia menang Kostum Kebangsaan Terbaik Miss Universe 2019

by

PESERTA Malaysia, Shweta Sekhon, 22, mencatat kejayaan membanggakan apabila memenangi Kostum Kebangsaan Terbaik buat pertama kali dalam pertandingan Miss Universe 2019 yang berlangsung di Atlanta, Amerika Syarikat, hari ini.

Pakaian rekaan pereka tempatan iaitu Carven Ong yang bertemakan ‘A Peranakan Indulgence’ daripada kaum Baba dan Nyonya itu menewaskan 89 peserta lain di pertandingan ratu cantik nombor satu dunia itu.

Carven berkata, dia benar-benar tidak menyangka untuk memang dan bersyukur apabila rekaannya diiktiraf pada edisi ke-67 ini.

“Syukur, Malaysia Boleh! Saya sangat gembira untuk Shweta kerana melakukan yang terbaik. Pasukan saya sebenarnya sangat bimbang mengenai kostum kebangsaan itu. Namun akhirnya kita menang!

“Saya ingin berterima kasih kepada Organisasi Miss Universe Malaysia terutama Pengarah Kebangsaan, Datin Elaine Daly. Juga kepada rakan saya Albert Ho yang banyak membantu dan bekerja keras untuk pakaian itu,” katanya kepada Harian Metro.

Ketika pengumuman, berlaku kesilapan apabila hosnya, Steve Harvey mengumumkan Filipina sebagai pemenang. Shweta yang berada di pentas bersamanya kemudian membetulkan Steve.

Tuah bagaimanapun tidak menyebelahi Shweta apabila tidak berjaya mara ke peringkat Top 20 sekali gus menyaksikan wakil Malaysia terus kempunan untuk layak ke peringkat separuh akhir dalam tempoh 49 tahun.

Kali terakhir peserta Malaysia yang layak ke separuh akhir ialah menerusi Josephine Lena Wong pada 1970.

Pada edisi tahun ini, peserta Afrika Selatan, Zozibini Tunzi diumuman sebagai Miss Universe manakala tempat kedua milik Puerto Rico dan ketiga, Mexico.